Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-67 di Pantai Hiburan, Kuala Rompin, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim serta barisan ketua jabatan dan pemimpin setempat.

Dalam titahnya, Paduka Baginda menegaskan bahawa pentadbiran daerah perlu mempunyai visi yang jelas, perancangan jangka panjang serta pengurusan yang cekap bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara terancang tanpa ketirisan.
“Saya juga harap pihak pentadbiran Rompin ini mesti ada visi yang jauh, perancangan yang baik, pentadbiran yang pintar. Jangan ada kelesuan, jangan ada perancangan yang ad-hoc basis. Biarlah ada perancangan yang jauh pandangan.
“Dan kerana kalau kita tidak ada satu perancangan yang jauh, itu tanda pentadbiran kita cukup lemah. Dan ini bukan saja tertakluk kepada daerah Rompin tetapi semua daerah di negeri Pahang,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda turut berharap agar setiap daerah di Pahang saling bersaing secara sihat dalam usaha memperkukuh pembangunan dan meningkatkan kemajuan kawasan masing-masing.
“Saya harap peringatan ini dapat disambut pada semua daerah-daerah, saya percaya kebanyakan pegawai daerah hadir di sini, dan biarlah di setiap daerah itu ada saingan, ada saingan di antara satu daerah dengan satu lagi daerah. Saingan itu akan memberi satu pertanda yang baik kepada pembangunan di negeri Pahang,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berharap agar Rompin terus dimajukan dengan mewujudkan tarikan tersendiri bagi memastikan daerah berkenaan kekal berdaya saing dan tidak ketinggalan berbanding daerah lain.

“Saya harap Rompin ini akan terus dimajukan dan ‘don’t make Rompin sleepy district’, biarlah Rompin mempunyai satu tarikan yang lebih baik daripada daerah-daerah lain,” titah Paduka Baginda lagi.
Majlis berkenaan turut menyaksikan acara terjunan oleh anggota 69 Komando dari ketinggian kira-kira 5,000 kaki menggunakan helikopter jenis AW139 milik Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesawat berkenaan membawa enam penerjun daripada Paratrooper 69 Komando dan dikendalikan oleh Superintenden Mohd Fairuz Jamil selaku kapten pesawat serta Deputi Superintenden Muhammad Amir Isa sebagai pembantu juruterbang. -PAHANGMEDIA

