Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2026 : Sebanyak 122 hak milik di atas tanah milik syarikat Berjaya di Bukit Tinggi, Bentong telah dilucutkan hak kepada Kerajaan Negeri Pahang susulan kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM70 juta.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, antara lokasi terlibat adalah kuarters pekerja, dobi, Rabbit Park dan Japanese Garden yang masing-masing berada di atas tanah kerajaan yang telah dilucuthak.

“Pada 28 September 2026, UPNP telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap tanah milik syarikat Berjaya Sdn Bhd di Bukit Tinggi, yang telah dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Sebanyak 122 hak milik yang telah dilucuthak telah disita, manakala struktur kekal yang berada atas tanah kerajaan telah dikosongkan dan dikunci, dengan pemasangan rantai dan manga.
“Tindakan ini dilaksanakan selepas pihak Berjaya gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah sebanyak RM 70,481,097 melibatkan keseluruhan 122 hak milik, yang tertunggak seawal tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata semua aktiviti di lokasi terlibat turut diarahkan untuk diberhentikan serta-merta dan sekiranya ingkar boleh dikenakan tindakan pendakwaan dibawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Menurut beliau, wakil Berjaya Group yang hadir ke lokasi turut dimaklumkan bahawa tindakan tersebut dijalankan susulan penampalan dan penyerahan notis pada 9 dan 10 September lalu.

“Pentadbir Tanah Bentong telah mengeluarkan perintah lucuthak kepada semua 122 tanah hakmilik yang gagal dibayar cukai, dan pewartaan Notis 8a telah dilaksanakan pada Jun 2025.
“Kesemua lokasi kemudiannya dipasang rantai dan mangga bagi menghalang sebarang aktiviti atau pendudukan tanpa kebenaran di atas tanah yang telah menjadi milik Kerajaan Negeri,” katanya.
Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan berkenaan kini tertakluk kepada arahan penangguhan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah.-PAHANGMEDIA

