Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
CAMERON HIGHLANDS, 30 SEPTEMBER 2026 : Pahang berbangga apabila Cameron Highlands dan Genting Highlands terus menjadi antara lokasi pilihan bagi perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL), sekali gus mengangkat nama negeri ini di pentas sukan berbasikal antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, pemilihan kedua-dua destinasi tanah tinggi itu sebagai laluan perlumbaan membuktikan Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri, khususnya dari segi laluan berbukit yang mencabar kemampuan pelumba bertaraf dunia.

Katanya, Kerajaan Pahang menyokong penuh penganjuran LTdL yang bukan sahaja menjadi medan persaingan pelumba terbaik dunia, malah memberikan publisiti luas kepada negeri ini menerusi liputan antarabangsa.
“Pertama sekali, saya ucap terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih Pahang khususnya Cameron Highlands dan Genting Highlands sebagai lokasi pertandingan.

“Itu satu kebanggaan buat Pahang, dan sudah pasti kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran program yang berprestij dan bertaraf dunia ini yang kita tengok, memang dapat liputan meluas di seluruh dunia, khususnya di kalangan peminat-peminat basikal,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan pingat kepada pemenang perlumbaan LTdL 2026 peringkat keempat yang berakhir di Tanah Rata, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH Tuan Kamarul Iskandar Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), YBhg. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Majlis Sukan Negara (MSN), YH Encik Sofian Hamzah serta barisan ketua jabatan kerajaan.

Kata YB Dato’ Fadzli lagi, penganjuran LTdL turut memberi peluang kepada rakyat dan pelancong menyaksikan sendiri aksi pelumba dunia, selain secara tidak langsung mempromosikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Kalau kita tengok di Cameron Highlands ini, ramai pelancong daripada luar Pahang, daripada luar negara, yang menyaksikan pertandingan ini.
“Jadi, LTdL ini dah satu level lain, yang dilihat di seluruh dunia. Yang bertanding pun semuanya jaguh-jaguh dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Cameron Highlands dan Genting Highlands sememangnya antara laluan yang dinanti-nantikan pelumba kerana bentuk muka bumi yang berbukit dan mencabar.
“Sebenarnya, Cameron Highlands dan Genting Highlands ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pelumba-pelumba basikal ini sebab memang laluannya yang berbukit dan cukup mencabar.
“Dan kita tengok tadi, ‘Raja Bukit’ meninggalkan pelumba-pelumba lain dalam jarak yang jauh, dan memang mereka diiktiraf ‘Raja Bukit’. Dan Genting Highlands esok, kita tengok siapa pula yang menang.
“Dan saya memang tahu, pelumba-pelumba ini memang tertunggu-tunggulah untuk Cameron Highlands dan Genting Highlands ini. Dan kita tengok esok, saya rasa saingan yang pasti cukup mencabarlah,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

