Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang mula mempergiat persiapan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula sekitar November dan berkemungkinan berlanjutan hingga tahun hadapan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, YS Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, persiapan itu akan digerakkan di seluruh negeri dengan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan anggota, komuniti serta kawasan yang dikenal pasti berisiko.
Menurutnya, APM selaku sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah juga akan mula memulakan persediaan menerusi latihan serta libat urus bersama komuniti setempat dan pemimpin masyarakat.

“APM juga selaku Sekretariat Pengurusan Bencana peringkat negeri dan juga daerah, bulan Oktober ini kita jangkakan akan bermula bulan kesiap siagaan nasional daripada pihak Kerajaan Persekutuan yang mana APM selaku sekretariat akan mula untuk mengorak langkah persediaan-persediaan awal ke arah MTL akan datang dijangka mungkin bulan 11 atau bulan 12 menjangkau ke tahun hadapan.
“Dan walaupun situasi sekarang ni jerebu, kita nasihatkan kepada orang awam untuk sentiasa meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan kepada mereka. Dan persediaan untuk MTL ni spesifik kepada bencana banjir, kita akan mengerahkan pegawai APM kita di sebelas daerah untuk bersiap siaga awal.
“Latihan bersama orang awam, komuniti setempat, pemimpin masyarakat supaya ulang kaji balik sebab mungkin dah lama dah, enjin bot macam mana, kena tengok balik, kawasan berisiko banjir macam mana, ada risiko kepala air dan sebagainya. So kita minta supaya lihat balik engagement bersama komuniti setempat,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan kerjasama bersama Felda dan usahawan di negeri ini, beliau berkata pihaknya membuka ruang kepada komuniti ini dengan memberi pendedahan berkaitan tindakan sebagai responden awal sekiranya berlaku kecemasan.
“Ada kerjasama nanti di antara usahawan-usahawan dan juga anak-anak Felda, kita dah bincang nanti macam mana belia-belia Felda untuk kita rekrutkan sebagai anggota APM dan juga mungkin kita boleh buat satu libat urus bersama dengan usahawan berkenaan ilmu pertahanan awam, ilmu kecemasan kita boleh bagi kepada usahawan.
“Contohnya bila berlaku bencana, bila berlaku emergency situation apa yang perlu dia buat sebagai first responder ketika tengah meniaga, tengah jual dan sebagainya, itu dari aspek kitalah.
“Kita memang membuka ruang dan peluang untuk utamanya belia Felda daripada buat perkara yang mungkin kurang berfaedah, you join pertahanan awam, kita bagi latihan, mungkin bila dia aktif kita bagi kemudahan uniform operasi dan sebagainya, dan boleh bertugas di pusat kawalan operasi kita, dan boleh dipanggil untuk sebagai first responder kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Reben Perkhidmatan APM Negeri Pahang Bagi Tahun 2026 di Auditorium APM Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

