Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Zaliza Zulkifli serta barisan ketua-ketua jabatan.

Keberangkatan Paduka Baginda disambut Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki; Presiden Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd, Mr. Tomoyuki Kashimura dan Pengerusi Kaneka Corporation, Mr. Kimikazu Sugawara.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan menyempurnakan gimik Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd yang menandakan tiga dekad syarikat beroperasi serta menyumbang kepada perkembangan sektor perindustrian di Pahang.
Dalam majlis sama, Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan cek cura berjumlah RM1 juta kepada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan, penyelidikan dan modal insan.

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan dan pencapaian Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd sepanjang 30 tahun beroperasi di Pahang sebelum Paduka Baginda berkenan berangkat ke santapan diraja.
Paduka Baginda turut berkenan melawat reruai pameran yang memaparkan produk, teknologi serta pencapaian syarikat sebelum meneruskan lawatan ke bilik kawalan (Control Room) kilang Kaneka bagi melihat dengan lebih dekat operasi serta sistem pemantauan pengeluaran kilang berkenaan.
Kaneka (Malaysia) Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada Kaneka Corporation, sebuah syarikat berpangkalan di Jepun yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahan kimia, bahan berprestasi tinggi serta produk penjagaan kesihatan dan pemakanan. -PAHANGMEDIA

