Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2026 : Komuniti Felda dan golongan usahawan di negeri ini bakal menjadi rakan strategik dalam membantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, cadangan ini sebagai bantuan merangkumi sumbangan kepakaran, kemahiran, barangan mahupun bantuan kewangan kepada pihak APM.
“Ada beberapa perbincangan ringkas tadi antaranya Felda dan juga usahawan sendiri, dan saya dapat lihat salah satu ini boleh kita extend kepada pihak Felda dan juga usahawan sendiri.
“Ini dapat juga membantu contribution, sekurang-kurangnya mereka boleh contribute kembali kepada Angkatan Pertahanan Awam dari segi bantuan-bantuan sama ada berbentuk skill ataupun barangan ataupun kewangan, dan juga mungkin apa yang mereka boleh cadangkan,” katanya.

Beliau berkata cadangan ini dibuat memandangkan komuniti ini memiliki sumber tetapi tidak mempunyai capaian sesuai bagi menyumbang kembali kepada rakyat ketika berlakunya kecemasan dan bencana.
“Kalau Felda sendiri, kita ramai dan juga ada anak Felda sendiri pun ramai yang boleh nak contribute semula tapi mereka tidak ada jambatan yang sesuai.
“So dengan ada APM ni dapatlah sekurang-kurangnya membantu mereka untuk bersama contribute untuk membantu mungkin mangsa-mangsa bencana yang berlaku di luar sana,” katanya.

Beliau yang menerima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam) berkata pemakaian pangkat yang diterima bukan sekadar satu penghargaan, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat.
“Pada hari ini saya sangat teruja dan memang terasa luar biasa bila dah pakai uniform ini, satu tanggungjawab dan juga amanah yang diberikan kepada saya dan juga rakan-rakan kepimpinan pada hari ini.
“Kita ada lebih kurang 67 orang pada hari ini penerima-penerima. Tahniah sekali lagi kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga Cawangan Negeri Pahang di atas program ini. Saya dapat maklumat daripada Tuan Che Adam tadi bahawa inilah salah satu langkah untuk membantu semua masyarakat terutama sekali dalam pentadbiran kesukarelawan.
“Dan juga mendisiplinkan negara dengan rakyat untuk memastikan keselamatan dan juga membantu masyarakat dalam segala bancana di Negeri Pahang ini terutama sekali dan juga Malaysia. Dan hari ini dapat kita pastikan bahawasanya kenaikan pangkat ini memberikan motivasi pada pihak penerima-penerima yang mereka akan teruskan perkhidmatan mereka di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Reben Perkhidmatan APM Negeri Pahang Bagi Tahun 2026 di Auditorium APM Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

