Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2026 : UMNO Pahang menzahirkan rasa syukur dan menyambut baik keputusan Lembaga Pengampunan yang diumumkan hari ini berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, YH. Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan tersebut turut membawa kelegaan besar kepada YH Dato’ Sri Najib dan keluarga serta disambut penuh kesyukuran oleh seluruh keluarga besar UMNO Pahang.
“UMNO Pahang dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda dalam perkara ini.
“UMNO Pahang turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas segala doa, keprihatinan dan usaha Baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO Pahang turut menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.
Katanya, UMNO Pahang akan turut memberikan sumbangan kepada tabung berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap inisiatif yang diumumkan Presiden UMNO.
“Pada masa sama, UMNO Pahang mengalu-alukan ahli-ahli UMNO di seluruh negeri Pahang yang berhasrat untuk turut menyumbang agar dapat berbuat demikian secara sukarela dan seikhlas hati melalui UMNO Bahagian masing-masing.
“Segala urusan kutipan dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Pahang supaya menyambut perkembangan itu dengan penuh kesyukuran, selain sentiasa menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.
Beliau turut mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah terus dikurniakan kesejahteraan serta keamanan, kestabilan dan keharmonian negara terus dipelihara. -PAHANGMEDIA

