Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 11 SEPTEMBER 2026 : Pahang akan memberi tumpuan dalam memperluaskan lagi program Talent Identification (TID) bagi mengenal pasti dan membangunkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan para.
Menurut Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar, program pencarian bakat itu akan dipergiat sejurus tamat Para SUKMA Selangor 2026, termasuk membuka peluang kepada bakat dari luar Pahang yang berpotensi untuk menyertai kontinjen negeri.
“Kita perlu memperluaskan lagi TID ataupun Talent Identification bagi atlet para untuk menambahkan acara, menyertai seberapa banyak acara dan sukan tersebut. Ia memungkinkan untuk kita memungut pingat emas dengan lebih tinggi lagi.
“Kita akan mencari bakat-bakat baharu bukan sahaja di Negeri Pahang, malah mungkin akan membuka peluang kepada mereka yang mahu menyertai kontinjen Negeri Pahang.
“Program-program tersebut akan bermula sejurus selepas tamat Para SUKMA ini. Kita akan buat post-mortem dan memulakan langkah seterusnya untuk memperbanyakkan program TID di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau yakin usaha memperluaskan pencarian bakat, khususnya dalam kalangan atlet muda, mampu memperkukuh peluang Pahang untuk meraih lebih banyak pingat pada masa akan datang.
“Kalau kita mempunyai bakat bagi atlet para ini, insya-Allah kita akan membaiki kedudukan dan pungutan pingat kita pada masa akan datang.
“Secara umum, bilangan penyertaan harus dipertingkatkan kerana kebarangkalian untuk kita memungut pingat juga akan lebih tinggi,” katanya.
Menurutnya, kegagalan mencapai sasaran tidak bermakna kontinjen Pahang gagal, sebaliknya beberapa faktor perlu diteliti bagi memastikan prestasi pasukan dapat dipertingkatkan pada temasya akan datang.
“Walaupun tidak mencapai sasaran 15 pingat emas, kita patut memberi pujian yang tinggi terhadap para atlet, pegawai dan jurulatih yang telah bertungkus-lumus berusaha dengan lebih kuat untuk mencapai kejayaan.
“Kita bukan gagal, cuma tidak berjaya untuk kali ini mencapai sasaran tersebut disebabkan beberapa faktor yang akan kita teliti semula selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, antara aspek yang akan diberi perhatian termasuk latihan, kebajikan atlet serta kelengkapan dan peralatan sukan, selain mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan sasaran pingat tidak dicapai.
“Selepas ini pihak MSP dan seluruh pengurusan akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kita tidak dapat meraih sasaran 15 pingat emas tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata antara perkara yang dikenal pasti secara umum ialah bilangan atlet para yang masih rendah berbanding negeri lain, sekali gus mengehadkan penyertaan Pahang dalam lebih banyak acara.
Dalam masa sama, beliau turut melahirkan penghargaan di atas pencapaian kontinjen Pahang yang menyifatkan kesungguhan atlet, pegawai dan jurulatih dalam memburu kejayaan sebagai sesuatu yang wajar dihargai.
Kontinjen Pahang menamatkan saingan Para SUKMA Selangor 2026 dengan kutipan tujuh pingat emas, 11 perak dan 13 gangsa, di tempat ke-11 kedudukan negeri. -PAHANGMEDIA

