Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 11 SEPTEMBER 2026 : Kontinjen Pahang menutup tirai perjuangan pada Para SUKMA Selangor 2026 dengan membawa pulang keseluruhan 31 pingat menerusi tujuh emas, 11 perak dan 13 gangsa.
Pencapaian itu meletakkan Pahang di tempat ke-11 kedudukan pingat negeri, hasil perjuangan 71 atlet yang membawa cabaran dalam sepuluh jenis sukan sepanjang temasya berkenaan.
Sepanjang pertandingan, kontinjen Pahang turut mengharungi 264 perlawanan, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi atlet, pegawai dan jurulatih dalam memastikan nama negeri terus dijulang di pentas Para SUKMA.
Perjalanan kontinjen Pahang pada Para SUKMA Selangor 2026 secara rasmi melabuhkan tirainya menerusi Majlis Penutupan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung meriah di Selangor International Trade Centre (SITC), malam tadi.
Lintas hormat Kontinjen Pahang diketuai Chef de Mission (CDM) Para SUKMA Pahang, Encik Zamzuraidi Shamsuddin bersama Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar, barisan atlet, pegawai serta maskot kontinjen.
Atlet olahraga, Mohd Ashaari Mohd Jaafar pula diberikan penghormatan sebagai pembawa bendera, mengiringi para pemenang pingat yang telah mengharumkan nama Pahang sepanjang temasya.
Para atlet turut membuktikan bahawa kekuatan sebenar tidak mengenal batas apabila terus berjuang memberikan yang terbaik, tanpa menjadikan pelbagai kekangan sebagai penghalang untuk mencipta kejayaan.
Setiap kejayaan yang dicatatkan bukan sekadar angka dalam pungutan pingat, sebaliknya menjadi bukti keberanian, disiplin, ketekunan dan semangat luar biasa atlet para Pahang dalam menghadapi cabaran di gelanggang pertandingan.
Di sebalik tujuh emas, 11 perak dan 13 gangsa itu tersimpan seribu cerita, ada kemenangan yang diraikan, ada kekalahan yang diterima dengan tabah, malah ada impian yang terpaksa ditangguhkan untuk kembali diperjuangkan.
Perjuangan kini berakhir di Selangor, namun semangat dan tekad untuk mengharumkan nama Pahang akan terus dibawa ke temasya yang bakal diadakan di Kelantan selepas ini. -PAHANGMEDIA

