Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 26 OKTOBER 2026 : Seramai 761 petugas kesihatan di daerah ini menerima Baucar Aspirasi Pahang 1st sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri dalam menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan sektor kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, inisiatif berkenaan dicetuskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bagi memastikan penghargaan Kerajaan Negeri dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat, khususnya petugas kesihatan.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat bersama dengan program yang cukup menarik dan juga cukup menyentuh hati pada saya, iaitu program untuk pemberian baucar institusi makmur daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk kluster kesihatan.

“Dan alhamdulillah, di Bentong ini kita ada lebih kurang 761 orang penerima baucar kesihatan yang akan diberikan kepada semua petugas-petugas,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian Baucar Aspirasi Pahang 1st kepada petugas kesihatan daerah Bentong.
Katanya, jasa dan tanggungjawab petugas kesihatan memberikan impak positif kepada masyarakat, khususnya penduduk Bentong dan Pahang secara keseluruhannya.
“Ini adalah sebagai tanda ingatan yang YAB Menteri Besar dan juga Kerajaan Negeri Pahang untuk kluster kesihatan ini, untuk menghargai jasa-jasa mereka, menghargai tugas-tugas mereka,” ujarnya.
Mengulas harapan Kerajaan Negeri terhadap petugas kesihatan, beliau berkata, sokongan dan kebersamaan semua pihak diharap dapat mendorong mereka melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang, terutama dalam menjaga kesihatan dan kebersihan masyarakat.

“Yang penting, kita menjaga kesihatan kepada semua masyarakat, menjaga kebersihan kepada masyarakat. Insya-Allah, terutamanya Bentong dan juga Pahang akan sihat sejahtera.
“Kalau rakyat pun sihat, insya-Allah negeri pun sihat,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dalam kalangan semua petugas kesihatan, daripada pemandu sehingga doktor, bagi memastikan setiap urusan dan penyampaian perkhidmatan berjalan lancar serta mencapai hasil yang baik.
Tambahnya, setiap petugas perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen, termasuk doktor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan berfungsi dengan berkesan.
“Doktor akan jalankan tanggungjawab doktornya, PKD akan jalankan PKD-nya, semua melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Insya-Allah, kebersamaan ini akan dapat ditafsirkan dengan bagaimana Pahang ini akan lebih makmur dan juga sejahtera,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

