Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
SELANGOR, 11 SEPTEMBER 2026 : Tiga atlet memanah Pahang mencipta kejayaan membanggakan apabila menyumbang tiga pingat emas dan dua perak pada temasya Para SUKMA Selangor 2026.
Kejayaan itu diraih menerusi atlet kategori Recurve Women, Lor Chi Hue, Afdal Haqimy Md Hanim dalam kategori Recurve serta Nurfaizal Hamzah bagi kategori Recurve Lelaki.
Lor Chi Hue yang menyertai acara Individu Recurve Women 70 meter dan Mixed Team, menyifatkan kejayaan meraih tiga pingat emas sebagai sesuatu yang amat disyukuri, terutama selepas penglibatannya dalam sukan bermula secara tidak sengaja pada 2018.

“Ada orang yang bawa saya masuk sukan dan dia bawa saya dari mula tahun 2018 sampai sekarang. Kalau tidak, mungkin saya tak main sukan.
“Saya sudah bermain empat Para SUKMA dan yang ini mungkin Para SUKMA terakhir saya. Kalau ada rezeki, mungkin Para SUKMA Kelantan saya boleh sertai lagi,” katanya.
Menurutnya, pada awal penglibatan dalam sukan, beliau hanya menganggap peluang berkenaan sebagai ruang untuk mencuba sesuatu yang baharu selain berpeluang mengunjungi tempat yang sebelum ini tidak pernah dikunjunginya.
“Saya mula-mula hanya fikir, tidak apa datang sini cuba dulu. Saya tak pernah pergi banyak tempat, jadi ada rezeki dan orang hantar percuma macam ini, jadi saya (fikir) pergi jalan-jalan. Tak sangka hari ini dapat tiga pingat untuk memanah. Rasa bersyukur sangat,” katanya.

Sementara itu, Afdal Haqimy berkata, beliau pada awalnya menyasarkan tiga pingat emas, namun mengakui rezekinya pada temasya kali ini adalah satu emas dan satu perak.
“Saya sangat gembira. Memang sebelum ini saya sasarkan tiga emas, tetapi hari ini rezeki yang saya dapat hanya satu emas,” katanya.
Dalam pada itu, Nurfaizal yang turut menyumbang satu emas menerusi acara individu Recurve Lelaki selain satu perak dalam acara berpasukan lelaki mengakui kejayaan itu di luar jangkaan memandangkan saingan yang dihadapi cukup sengit, termasuk kehadiran pemanah dari skuad kebangsaan.

“Saya sangat-sangat gembira sebab pada awalnya saya tidak menjangkakan. Saya hanya sasarkan untuk buat yang terbaik. Alhamdulillah, benda yang tidak disangka itu menjadi rezeki saya hari ini dan menjadikan saya lebih baik.
“Saingan memang sengit kerana sebelum ini saya dimaklumkan ada peserta daripada Selangor dan Wilayah (Persekutuan) yang juga daripada pasukan kebangsaan. Jadi dari awal saya sudah menjangkakan saingan yang sukar,” katanya.
Kontinjen Pahang menutup tirai perjuangan pada Para SUKMA Selangor 2026 dengan membawa pulang keseluruhan 31 pingat menerusi tujuh emas, 11 perak dan 13 gangsa yang meletakkan Pahang di tempat ke-11 kedudukan pingat negeri. -PAHANGMEDIA

