Oleh : Syafiqah Jamaluddin
SELANGOR, 23 OGOS 2026 : Tidak meletakkan sasaran pingat sebelum turun beraksi, namun atlet e-sukan Pahang dalam acara Street Fighter, Hew Wai Hong, membuktikan dirinya mampu mencipta kejutan apabila membawa pulang pingat gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Atlet berusia 20 tahun itu mengakui tidak menjangkakan mampu menamatkan saingan di tempat ketiga, sebaliknya hadir dengan hasrat untuk menikmati pengalaman bertanding selepas menjalani persiapan selama kira-kira sembilan bulan.
“Saya rasa sangat baik. Saya tidak menjangka saya boleh mendapat nombor tiga, tetapi saya dapat (gangsa),” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Menurut beliau, persiapan menghadapi SUKMA dilakukan secara konsisten selama sembilan bulan bermula Disember tahun lalu, termasuk latihan hampir setiap hari bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik ketika kejohanan.
Bagaimanapun, selepas mengharungi saingan sengit, beliau berkata perkara pertama yang mahu dilakukannya selepas tamat SUKMA adalah berehat sebelum kembali menjalani latihan.
“Saya mahu rehat dua minggu, dua minggu cukup. Selepas itu saya akan kembali berlatih,” katanya.
Sementara itu, jurulatihnya, Bryan Liew Cheng Wui, menyifatkan persembahan Hong pada hari pertandingan sebagai antara prestasi terbaiknya, terutama selepas menunjukkan kesungguhan lebih tinggi berbanding hari pertama.
Katanya, Hong berjaya melaksanakan strategi yang dirancang sepanjang tempoh latihan, malah memberikan persembahan melebihi jangkaan.
“Saya rasa prestasi dia hari ini memang top form (berada pada tahap terbaik). Bila dibandingkan dengan hari pertama, dia memang serius.
“Apa-apa strategi yang kita rancang dan latihan yang kita lakukan sebelum ini, dia memang bawa dan dia buat yang lebih daripada itu,” katanya.
Bryan berkata, walaupun Hong tidak meletakkan sasaran khusus, beliau sejak awal percaya anak buahnya mempunyai kemampuan untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan di podium.
“Kepada saya, memang dia target untuk sekurang-kurangnya podium. Dari awal saya sudah beritahu dia, saya rasa awak boleh podium,” katanya.
Mengulas perkembangan Hong selepas SUKMA, beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk atlet berkenaan terus aktif dalam arena kompetitif Street Fighter.
Beliau turut mahu pemain muda melihat e-sukan sebagai satu bidang yang mempunyai peluang untuk berkembang, terutama dengan semakin pesatnya pertumbuhan komuniti permainan berkenaan di Malaysia.
Menurutnya, Street Fighter kini mempunyai komuniti yang semakin berkembang di Malaysia, khususnya dalam kalangan pemain muda, sekali gus membuka peluang kepada generasi baharu untuk menceburi arena permainan kompetitif secara lebih serius.
Bagaimanapun, beliau mengakui pembangunan ekosistem profesional dalam rantau ini masih perlu diperkukuhkan bagi membantu lebih ramai pemain tempatan melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Kita memang boleh dapat ganjaran yang baik, tetapi dalam rantau kita ini, dari segi pro scene memang masih kurang. Itu yang kita kena develop.
“Tapi pemain-pemain kita semakin banyak dalam Street Fighter, terutamanya yang muda,” katanya.
Kejayaan Hong menyumbang pingat gangsa buat Pahang itu sekali gus menjadi bukti hasil latihan selama sembilan bulan, selain membuka ruang kepada perkembangan lebih besar buat dirinya dan komuniti Street Fighter di Malaysia pada masa akan datang. -PAHANGMEDIA

