KUANTAN, 21 OGOS 2026 : Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Sarawak diyakini mampu menjadi katalis (pemangkin) kepada pembangunan dan kemajuan kawasan berkenaan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, kewujudan masjid berkenaan dapat menjadi katalis kepada projek pembangunan di Telok Melano, termasuk cadangan pembangunan dan kemudahan di kawasan sekitarnya yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak.

“Saya begitu terharu kerana dapat hadir untuk merasmikan satu lagi rumah Allah yang diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak, khususnya Premier Sarawak bersama ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan rakyat di sini.
“Masjid ini cukup sederhana, cukup cantik dan padat, tetapi yang lebih penting pengisiannya mesti penuh melalui keimarahannya, kemakmurannya, kerahmatannya dan keberkatannya.
“Harapan saya, masjid ini akan menjadi satu katalis kepada projek pembangunan di sini dan dengan adanya cadangan pembangunan serta kemudahan di persekitaran kawasan ini, mudah-mudahan semuanya dapat diusahakan,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Telok Melano, Lundu, hari ini.
Turut hadir ialah Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan menandatangani plak perasmian dan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di masjid baharu ini.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak, atas undangan untuk merasmikan masjid berkenaan yang dinamakan sempena nama Paduka Baginda.
“Terima kasih sekali lagi kepada Kerajaan Sarawak dan penduduk di sini. Saya begitu terharu kerana diberi penghormatan apabila masjid ini dinamakan dengan nama saya.
“Apa yang penting adalah usaha untuk mengimarahkan masjid ini. Saya berdoa agar masjid ini sentiasa mendapat keberkatan dan sentiasa dipenuhi jemaah serta dikunjungi orang ramai,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda di dalam titah turut mengimbau kembali kenangan ketika berkenan melaksanakan Kembara Borneo ke Sarawak kira-kira tiga tahun lalu, khususnya perjalanan dari Kuching hingga ke Telok Melano yang meninggalkan kesan mendalam kepada Paduka Baginda.
“Saya begitu terharu setiap kali melihat video-video di Sarawak yang ada kaitan dengan kembara tiga tahun lalu. Ia memberikan kenangan yang cukup manis untuk saya kenang sepanjang hayat.
“Sepanjang perjalanan ke Telok Melano, masih terbayang-bayang rakyat yang menanti saya di sepanjang perjalanan. Itu adalah sejarah, yang paling penting adalah masa hadapan,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang disifatkan mempunyai pengalaman luas serta pernah bekerjasama dengan Paduka Baginda ketika Paduka Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Sarawak harus bersyukur dan berbangga kerana mempunyai Tuan Yang Terutama yang begitu berpengalaman. Saya pernah bekerjasama dengan Tuan Yang Terutama ketika saya menjadi Yang di-Pertuan Agong dan banyak nasihat telah diberikan kepada saya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut memuji kepimpinan Premier Sarawak yang disifatkan dinamik, berpandangan jauh serta mempunyai keprihatinan tinggi terhadap pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Saya sentiasa mengikuti ucapan dan idea-idea beliau yang cukup bernas. Idea-idea tersebut sentiasa direalisasikan. Rakyat Sarawak cukup bertuah dan saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak,” titah Paduka Baginda.-PAHANGMEDIA

