Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Fadhil Roslizan
SELANGOR, 21 OGOS 2026 : Pahang terus membuktikan keunggulannya dalam sukan menembak apabila muncul juara keseluruhan bagi sembilan edisi Sukan Malaysia (SUKMA) berturut-turut sejak 2008.
Pada edisi SUKMA XXII Selangor 2026, skuad menembak Pahang sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila mengungguli saingan dengan kutipan 14 pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, kejayaan itu membuktikan konsistensi serta dominasi atlet-atlet menembak Pahang yang berjaya mempertahankan kejuaraan sejak hampir dua dekad lalu.
“Pahang terus membuktikan kehebatan apabila kekal sebagai juara keseluruhan sukan menembak SUKMA untuk sembilan edisi berturut-turut sejak 2008.
“Di SUKMA XXII Selangor 2026, skuad menembak Pahang sekali lagi cemerlang dengan kutipan 14 emas, tujuh perak dan lima gangsa,” katanya.

Menurutnya, pencapaian sembilan kali berturut-turut berada di puncak bukan sekadar kejayaan meraih pingat, sebaliknya mencerminkan legasi, konsistensi, disiplin dan semangat juang luar biasa yang dimiliki atlet-atlet menembak Pahang.
“Ini bukan sekadar kemenangan, tetapi sebuah legasi, konsistensi dan dominasi yang dibina selama hampir dua dekad.
“Sembilan kali berturut-turut berada di puncak membuktikan kehebatan, disiplin dan semangat juang luar biasa atlet-atlet menembak Pahang yang tidak pernah mengalah dalam mengejar kejayaan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurus pasukan, penyelaras sukan, barisan jurulatih, atlet serta seluruh pasukan sokongan yang bekerja keras dalam memastikan kegemilangan Pahang dalam sukan menembak terus dipertahankan.
“Syabas dan tahniah buat semua yang terlibat. Terima kasih kerana sekali lagi mengharumkan nama Pahang dan membuktikan bahawa Pahang sentiasa mempunyai kelas tersendiri di pentas SUKMA,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

