Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 08 OGOS 2026 : Seramai 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima insentif Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif berkenaan merupakan bukti penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa para veteran di negeri ini.

“Semasa Sambutan Hari Pahlawan tahun lalu, saya telah mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperluaskan kemudahan ini kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara polis dengan sasaran 10,000 penerima bermula tahun 2026.
“Bagi tempoh 2023 hingga 2025 pula, jumlah penerima meningkat kepada lebih 37,000 orang. Pada tahun ini, jumlah keseluruhan penerima telah mencecah 51,955 orang.
“Apa yang lebih membanggakan, hampir 20 peratus daripada jumlah tersebut merupakan penerima di bawah kategori Edisi Pahlawan, melibatkan veteran ATM dan pesara PDRM yang berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaannya telah dimulakan dan pemberian ini akan diteruskan secara berperingkat supaya lebih ramai veteran di negeri ini dapat menikmati manfaatnya.
“Program Kad Kesihatan Kasih Makmur ini membuktikan bahawa sesuatu dasar yang dirancang dengan teliti mampu memberi manfaat kepada semakin ramai rakyat.
“Ketika diperkenalkan pada tahun 2022, program ini melibatkan 18,000 penerima dalam kalangan warga emas. Kemudian, ia diperluaskan kepada golongan Orang Kurang Upaya melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Bagi saya, angka-angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya membuktikan bahawa Kerajaan Negeri benar-benar menghargai jasa mereka yang telah berbakti kepada negara,” katanya.
Beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada Persatuan Veteran ATM (PVATM) Negeri Pahang sebanyak RM70,000 serta menganugerahkan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) PVATM Ke-65 kepada 21 penerima.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan dan Penganugerahan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) PVATM Ke-65 Tahun 2026 di Dewan Semai Bakti FELDA Sungai Koyan 2, hari ini. – PAHANGMEDIA

