Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 07 OGOS 2026 : Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 17 juta pelancong berkunjung ke negeri ini tahun ini berbanding 15.275 juta pelancong yang direkodkan pada tahun lalu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu memerlukan usaha berterusan bagi memperkukuh sektor pelancongan termasuk menerusi pembangunan produk pelancongan berasaskan komuniti.
“Yang penting Pengarah Tourism yang baharu perlu bekerja lebih keras. Kita mahu melihat peningkatan jumlah pelancong ke negeri Pahang. Jika tahun lalu 15.2 juta, tahun ini saya sasarkan sekurang-kurangnya 17 juta pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Homestay Tanjung Gahai dan Pelancaran Laman Web Homestay Pahang di Dataran Santuari Eco Gahai, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Speaker Dewan Negara, YB Dato’ Sri Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Encik Mohd Rizal Ismail; Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi serta barisan pimpinan setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata Homestay Tanjung Gahai yang ditubuhkan tahun lalu kini mempunyai 10 pengusaha homestay dan dua pengusaha kampungstay dengan 18 bilik penginapan.

“Sehingga Jun 2026, walaupun baru ditubuhkan tahun lalu, Homestay Tanjung Gahai telah menerima kira-kira 1,700 pelancong domestik.
“Kita mensasarkan Homestay Tanjung Gahai ini menjadi antara homestay terbaik di Malaysia, selain memperkasa homestay di kampung-kampung lain khususnya di kawasan DUN Jelai,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Tanjung Gahai yang sebelum ini kurang dikenali namun kini semakin berkembang sebagai destinasi pelancongan.
“Tanjung Gahai dahulu tidak dikenali, malah tidak terdapat dalam peta. Namun kini, alhamdulillah, ia semakin dikenali dan berkembang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Tok Empat, Tok Penghulu, penduduk kampung, pegawai daerah, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang telah membantu memajukan Kampung Tanjung Gahai di DUN Jelai ini sehingga berubah jauh berbanding dahulu,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada sektor pelancongan kerana industri tersebut mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan penduduk serta merancakkan ekonomi luar bandar.
Pada tahun lalu, sebanyak RM150,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah digunakan bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Kampung Tanjung Gahai termasuk pembinaan wakaf, sistem pencahayaan dan papan tanda.
Dalam masa sama, Tourism Pahang turut memperuntukkan RM366,000 bagi menaik taraf kemudahan awam termasuk pembinaan dewan terbuka di Dataran Santuari Eco Gahai. –PAHANGMEDIA

