Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 08 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta bagi menjayakan program Halaqah Ruang Hati Bidadari Dambaan Syurga sebagai antara usaha memperkasakan wanita, khususnya golongan wanita muda di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang julung kali dianjurkan itu kini dilaksanakan di tiga zon iaitu Cameron Highlands, Maran dan Paya Besar dengan jumlah kehadiran keseluruhan dijangka mencecah hampir 5,000 peserta.

“Saya berharap program ini memberi faedah dan manfaat kepada para hadirin. Ini merupakan satu pengisian yang sangat baik, khususnya untuk wanita muda.
“Insya-Allah, kita akan teruskan lagi program ini kerana ia antara komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan wanita.
“Program ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mendengar secara bersemuka daripada ustazah yang berpengalaman, diiktiraf serta berpengaruh,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berbentuk pengisian kerohanian dan pembangunan diri itu penting bagi membentuk wanita yang lebih berilmu, yakin serta mampu memainkan peranan besar dalam keluarga dan masyarakat.
“Saya percaya wanita memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan kita.
“Seorang wanita bukan sahaja menjadi anak yang membanggakan ibu bapa, malah akan menjadi isteri, ibu, pendidik dan pencorak kepada generasi akan datang.

“Sebab itu, apabila seorang wanita diperkasakan dengan ilmu dan akhlak yang baik, manfaatnya bukan hanya kepada dirinya, tetapi turut dirasai oleh keluarga, masyarakat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Halaqah Ruang Hati Bidadari Dambaan Syurga di bawah Program Apresiasi Pahang 1st di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, hari ini.
Turut hadir ialah YABhg Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Sri Dr Ramli Dato’ Mohd Nor. -PAHANGMEDIA

