Oleh: Aimi Syafiaqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 07 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkukuh kebajikan rakyat menerusi sumbangan cek Kerajaan Negeri Pahang, sekali gus meringankan beban dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YDH Orang Kaya Indera Shahbandar Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sentiasa mempermudahkan segala urusan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Saya amat berterima kasih mempunyai seorang Menteri Besar yang sentiasa prihatin, ringan tulang dan mudah berurusan untuk bantu rakyat.
“…. dan YAB. Menteri Besar Pahang selalu berpesan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk sentiasa turun padang, menyantuni rakyat, selesai masalah rakyat, dan bantu rakyat di kawasan sehabis baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Penerima DUN Peramu Jaya dan Majlis Penyampaian Laptop dan Kerusi Roda oleh Yayasan KOSMA di Pusat Khidmat Rakyat DUN Peramu Jaya, hari ini.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Kad Kesihatan Kasih Makmur, selain menyempurnakan penyerahan sumbangan 28 komputer riba dan 30 kerusi roda yang disumbangkan oleh Yayasan KOSMA.
Tambah beliau, sumbangan yang disalurkan oleh Yayasan KOSMA telah memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus membuktikan komitmen yayasan itu dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Sumbangan dari Yayasan KOSMA banyak membantu sebenarnya, bukan sahaja pelajar dan orang kurang upaya (OKU) malah mereka juga membantu nelayan dan warga emas. Kita perlukan banyak lagi koperasi sebegini.
“Pada hari ini, di Peramu Jaya bertuah kerana Yayasan KOSMA telah memberi sumbangan sebanyak 30 buah kerusi roda dan 28 buah komputer riba,” katanya. -PAHANGMEDIA

