Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 30 JULAI 2026 : Kerajaan Pahang mengesan kewujudan sindiket penipuan melibatkan urusan permohonan tanah di daerah Bentong yang memperdaya orang ramai dengan tawaran pemberimilikan tanah secara tidak sah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sindiket berkenaan menawarkan khidmat menguruskan pemberimilikan tanah dengan meminta bayaran serta mengarahkan mangsa menandatangani dokumen sebelum proses sebenar dilaksanakan.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat luar bagi menguruskan pemberimilikan tanah selain daripada saluran rasmi yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri. Tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau menjalankan urusan berkaitan tanah tanpa mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
Orang ramai yang merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan turut digesa supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Kerajaan Negeri Pahang kekal komited memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mematuhi undang-undang.
“Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan,” katanya. – PAHANGMEDIA

