Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 30 JULAI 2026: Sumbangan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang memberi kelegaan kepada penerima yang berdepan kos rawatan dan perubatan yang tinggi, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka.
Menurut Encik Kamaruddin Kasim, 65, bantuan yang diterima amat bermakna dalam membantu mengurangkan beban kos rawatan perubatan yang ditanggung sejak sekian lama.
“Saya rasa terharu dan gembira kerana selama ini saya telah membelanjakan lebih kurang RM40,000 bagi pemasangan bateri dan juga saya telah membelanjakan lebih kurang RM1,000 setiap bulan bagi membeli ubat-ubatan. Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini dapatlah mengurangkan beban saya selama ini.
“InsyaAllah saya juga akan memohon lain-lain bantuan yang saya dengar sebentar tadi dimana banyak bantuan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Terima kasih YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.

Puan Azmiah Yakob, 53, menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, sekali gus membantu meringankan beban kos rawatan dan perubatan yang ditanggungnya akibat penyakit kulit kronik yang dihidapi sejak lima tahun lalu.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) kerana sentiasa prihatin dan telah meringankan beban kami dengan sumbangan ini.
“Saya setiap bulan perlu ke hospital dan ada juga untuk beli ubatan lain sebab saya ada masalah kronik. Alhamdulillah sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan beban saya dalam perbelanjaan perubatan saya,” katanya.
Di samping itu, Mejar Pertahanan Awam, Zahidi Zainuddin berkata sumbangan yang diterima membuktikan Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan bukan sahaja rakyat, malah anggota badan beruniform.

“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan kepada kelab kami (Kelab Kebajikan, Rekreasi dan Sukan Kakitangan Pertahanan Awam Negeri Pahang). Selain bantuan dari segi perubatan dan pendidikan, untuk badan beruniform tidak ketinggalan juga.
“Ini bermaksud Kerajaan Negeri Pahang dibawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sangat memandang berat berkenaan dengan kebajikan dan juga keselesaan bagi warga badan beruniform,” katanya. -PAHANGMEDIA

