Oleh: Ummul Qistina Sofea & Zeti Akhtar Lokman
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 09 JULAI 2026 : Orang ramai kini tidak lagi perlu hadir ke pejabat bagi mendapatkan maklumat berkaitan pembangunan, tanah dan perancangan bandar apabila Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) melancarkan Portal Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Portal berkenaan sekali gus memperkukuhkan agenda pendigitalan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff portal tersebut membolehkan orang ramai mengakses pelbagai maklumat berkaitan pembangunan bandar secara dalam talian tanpa perlu lagi berurusan di kaunter.
Katanya, portal itu menyediakan maklumat seperti proses dan status permohonan, lokasi pembangunan utama, analisis topografi serta penyelarasan Pelan Bandar dan Perancangan Negeri (PBPN), sekali gus membantu pengguna mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai sesuatu kawasan.

“Orang ramai tidak perlu lagi datang ke pejabat kerana pelbagai maklumat boleh diakses pada bila-bila masa menerusi Portal GIS ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik MBK 2026-2030 dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan MBK di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli; Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, YH. Dato’ Khairun Nisa Aris dan ketua-ketua jabatan.
Beliau berkata, pembangunan portal itu bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah dijangka menjadi pemangkin kepada usaha menarik lebih ramai pelabur ke bandar raya Kuantan.
Katanya, pelabur boleh mendapatkan maklumat berkaitan kawasan pembangunan, tanah yang berpotensi serta proses permohonan secara lebih cepat dan sistematik, sekali gus mempercepatkan proses pelaburan.

“Pelabur boleh melihat sendiri proses pembangunan bandar, kawasan tanah yang berpotensi dan membuat permohonan pembinaan dengan lebih mudah. Kita mahu mempercepatkan proses supaya Kuantan lebih mesra pelabur,” ujarnya.
YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin juga berkata, Portal GIS turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan apabila pelawat boleh mendapatkan maklumat berkaitan lokasi pelancongan, lot tanah serta pelbagai destinasi menarik di sekitar bandar raya Kuantan dan negeri Pahang.
Sementara itu, menerusi Pelan Strategik MBK 2026-2030, MBK komited meneruskan transformasi digital secara menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memperkukuhkan pembangunan bandar pintar demi kesejahteraan warga Kuantan.-PAHANGMEDIA

