Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 6 JULAI 2026 : “Tok Wan memang sangat prihatin dan cakna terhadap rakyat. Kami warga Desa Murni amat menghargai segala sokongan serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang penyertaan dalam pertandingan ini,” kata Pengerusi JPKK Kampung Desa Murni, Encik Mohamad Fazrul Ahmad.
Menurut beliau, kejayaan Kampung Desa Murni, Kerdau, Temerloh dinobatkan sebagai johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI Tahun 2025, selain meraih dua lagi anugerah, merupakan hasil sokongan padu Kerajaan Negeri serta kerjasama erat penduduk setempat.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kami dinobatkan sebagai johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI. Bagi pihak kepimpinan Desa Murni, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas penganjuran anugerah yang cukup bermakna ini, khususnya buat masyarakat luar bandar.
“Hari ini kami menerima tiga anugerah iaitu Johan Keseluruhan, Anugerah Desa Mampan dan Anugerah Profiling Komuniti Desa.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan khas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Pada saya, MB ‘Tok Wan’ kita ini sangat prihatin dan cakna terhadap rakyat. Warga Desa Murni menerima pelbagai sokongan dan sumbangan sehingga membolehkan kami mencapai kejayaan hari ini. Terima kasih, Tok Wan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia Tahun 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini hari ini.
Kampung Desa Murni membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 hasil kemenangan tiga anugerah tersebut.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Peladang FELDA Chemomoi, Tuan Haji Jaffar Md Katas berkata, Anugerah Koperasi Terbaik yang diterima adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan penduduk.
“Syukur Alhamdulillah. Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, terutamanya ahli koperasi yang sentiasa memberi sokongan dan komitmen dalam memajukan koperasi ini.
“Ia juga merupakan satu bentuk kemajuan ekonomi untuk masyarakat setempat. Pada saya, kunci kejayaan adalah istiqamah, kerja keras dan kesungguhan,” katanya.
Bagi Encik Mazlan Ramli dari FELDA Wilayah Mempaga, pemilik Lemang To’ki yang menerima Anugerah Usahawan FELDA 2025 (Kategori Perniagaan), kemenangan tersebut adalah hasil usaha bersama.
“Ini bukan kemenangan individu, tetapi kemenangan berpasukan, terutamanya bersama ahli keluarga dan pasukan Toki Group Malaysia Sdn. Bhd.
“Di samping itu, kejayaan ini juga hasil kerja keras seluruh warga Lemang To’ki serta sokongan pelanggan yang sentiasa memberi kepercayaan kepada kami. Terima kasih juga kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membantu kami dalam menyediakan perkhidmatan terbaik.
“Kami berasa sangat teruja dan gembira. Segala penat lelah akhirnya terbayar apabila diumumkan sebagai penerima anugerah usahawan di peringkat kebangsaan dan jenama Lemang To’ki semakin dikenali,” katanya. – PAHANGMEDIA

