Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 16 JUN 2026 : Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilaksanakan oleh Dewan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang terhadap mantan wakil rakyat disifatkan sebagai contoh terbaik dalam menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang pernah berkhidmat kepada rakyat serta negeri ini.
Program yang diketuai Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin bersama Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen itu mendapat maklum balas positif daripada mantan wakil rakyat yang menerima kunjungan berkenaan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, beliau amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan kepimpinan negeri menerusi kunjungan yang diadakan, khususnya kepada bekas wakil rakyat yang uzur dan kurang sihat bagi memberi sokongan moral kepada mereka.

“Saya sangat mengalu-alukan dan berterima kasih kepada kepimpinan negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap bekas-bekas wakil rakyat, terutama mereka yang uzur dan tidak sihat. Program seperti ini sangat menyentuh hati dan wajar diteruskan,” katanya.
Sementara itu, bekas ADUN Jengka, YH Dato’ Haji Wan Salman Wan Ismail berpendapat pendekatan yang dilaksanakan menerusi Program Ziarah Kasih boleh dijadikan contoh oleh agensi dan jabatan lain dalam menghargai individu yang pernah menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Konsep seperti ini boleh diperluaskan kepada kelompok lain yang pernah berkhidmat termasuk bekas senator dan pemimpin di pelbagai peringkat supaya penghargaan yang sama dapat diberikan kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, bekas ADUN Bukit Ibam, Datin Hajah Samsiah Arshad berkata, program berkenaan memberi makna yang besar kepada bekas wakil rakyat kerana ia membuktikan bahawa kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan mereka dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, tugas sebagai wakil rakyat menuntut pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang tinggi, malah ramai yang telah terlibat dalam dunia politik serta khidmat masyarakat jauh sebelum diberi amanah sebagai wakil rakyat.

“Kadang-kadang apabila tidak lagi memegang jawatan, ada yang merasakan jasa dan pengorbanan mereka telah dilupakan. Namun program ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengingati dan menghargai segala sumbangan yang telah diberikan,” katanya.
Program berkenaan turut membuktikan bahawa setiap jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mantan wakil rakyat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka sentiasa mendapat penghargaan serta tempat yang istimewa dalam pembangunan negeri.-PAHANGMEDIA

