KUANTAN, 15 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, Bentong, semalam.
Paduka Baginda berdua amat berdukacita menerima berita nahas yang telah meragut empat nyawa termasuk seorang bayi berusia setahun selepas kenderaan yang dinaiki mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43 lebuh raya berkenaan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut mendoakan agar roh kesemua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan simpati dan rasa belas ihsan kepada ahli keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar susulan tragedi tersebut.
“Semoga seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” titah Paduka Baginda berdua.
Dalam kejadian berkenaan, empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Honda City disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler yang membawa muatan habuk kayu.
Pemandu treler dilaporkan mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan lanjut.– PAHANGMEDIA

