Oleh : Aimi Syafiqa
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 15 JUN 2026 : Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Batu – Nenasi sebagai usaha perancangan pembangunan di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peruntukan tersebut bagi membolehkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang (PLANMalaysia Pahang) melaksanakan satu kajian yang komprehensif bersama perunding-perunding yang dilantik.
“RM500,000 itu telah kita luluskan untuk membolehkan pihak PLANMalaysia Pahang mewujudkan satu kajian yang komprehensif bersama dengan perunding-perunding dan akhirnya ini kita telah dapati bahawa apa yang telah dilaksanakan itu telah saya rasa dapat kita menepati dengan visi kita untuk kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Batu-Nenasi selaku wakil rasmi, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Menurut beliau, kawasan tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri yang perlu dipelihara dan dibangunkan dengan sebaik mungkin.
“Kawasan ini sangat istimewa selain daripada keindahan flora dan fauna, pantai, laut dan juga terdapat kawasan pertanian seperti jelapang padi dan sudah tentu pembangunan terancang ini mesti kita laksanakan dengan sebaik mungkin.
“… dan kawasan ini pun ada kawasan penurunan ikan daripada nelayan-nelayan dan mempunyai keunikan keindahan laut seperti Saujana Biru,” katanya.

Tambahnya, penglibatan pelbagai pihak termasuk Majlis Perbandaran Pekan amat penting bagi memastikan pembangunan di kawasan tersebut dapat dikawal selia dengan baik.
“Keterlibatan berbagai pihak sebetulnya Majlis Perbandaran Pekan ini, sudah tentu perlu mengawal selia kawasan pembangunan tersebut dan sudah tentu ianya akan menambah lagi hasil kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Di samping itu, beliau mengharapkan agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dalam merealisasikan perancangan yang telah digariskan oleh PLANMalaysia.
“Harapan saya adalah kerjasama yang baik daripada semua pihak untuk merealisasikan apa yang telah dirancangkan oleh pihak PLANMalaysia dan sudah tentu akan memberi impak kepada Kerajaan Negeri Pahang dan juga rakyat Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

