Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hariz Awang
TEMERLOH, 12 JUN 2026 : Seramai 162 belia dari Malaysia, Jepun, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Thailand berhimpun di Kampungstay Desa Murni, di sini sempena Japan–ASEAN Youth Leaders’ (JAY) Program 2.0 2026 Malaysia sekali gus menjadikan Pahang sebagai medan pertemuan pemimpin belia di rantau ASEAN dan Jepun.
Majlis Perasmian Pembukaan program tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man.

Menurut beliau, penyertaan seramai 162 peserta itu membuktikan program berkenaan berjaya menarik minat golongan belia daripada pelbagai latar belakang dan negara untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh jaringan persahabatan serta memahami kepelbagaian budaya di rantau ini.
“Program ini telah menarik peserta yang bukan sahaja dari Pahang iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kolej Komuniti Jerantut, malah dari luar Pahang seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) serta peserta antarabangsa dari Jepun, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Thailand.
“Kita melihat ini sebagai satu platform penting untuk anak-anak muda menjalin hubungan yang lebih erat antara satu sama lain selain memberi peluang kepada mereka mengenali dan meneroka destinasi pelancongan menarik yang terdapat di negeri Pahang,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Menurut beliau, program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta antarabangsa merasai sendiri pengalaman pelancongan komuniti yang menjadi antara produk pelancongan unik negeri ini.
“Saya difahamkan peserta hari ini mengikuti program homestay bersama komuniti setempat dan esok mereka akan berkunjung ke Taman Negara yang merupakan antara tarikan utama di Pahang dan Malaysia.
“Mereka juga akan menyertai aktiviti rapid shooting serta melawat perkampungan Orang Asli. Saya berharap program ini dapat memberikan pengalaman yang baik kepada setiap peserta,” katanya.

Menurutnya lagi, pemilihan Kampungstay Desa Murni sebagai lokasi program adalah bertepatan dengan reputasinya sebagai antara produk pelancongan komuniti terbaik negara yang pernah menerima pengiktirafan antarabangsa.
“Bagi saya, Kampungstay Desa Murni bukan sahaja homestay yang sangat berjaya di Pahang, malah antara yang terbaik di Malaysia dan pernah menerima anugerah di Laos dua tahun lalu,” katanya.
Penganjuran JAY Program 2.0 2026 Malaysia bukan sahaja memperkukuh hubungan antara belia ASEAN dan Jepun, malah menjadi platform memperkenalkan keunikan budaya, pelancongan komuniti serta khazanah alam semula jadi Pahang kepada peserta dari pelbagai negara, sekali gus menyokong usaha mempromosikan negeri ini di peringkat antarabangsa. -PAHANGMEDIA

