KUANTAN, 20 MEI 2026 : Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan bahawa permohonan penyambungan bekalan elektrik bagi sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut yang tular hidup hampir 13 tahun tanpa elektrik, hanya diterima pada hujung Disember 2025.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan permohonan berhubung isu viral tentang permintaan untuk penyambungan elektrik di Kuala Sat, telah diterima melalui kontraktor pada hujung Disember 2025.
“TNB telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan pada Januari 2026 bagi membolehkan kerja-kerja penanaman tiang dilaksanakan.
“Ingin dimaklumkan bahawa pelaksanaan kerja di lokasi adalah juga tertakluk kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan, termasuk dari aspek keselamatan, teknikal, serta pematuhan status tanah dan izin lalu,” kata kenyataan itu hari ini.
Susulan perkembangan terkini, TNB telah diberi kebenaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman tiang pada 17 Mei 2026.
“Kerja-kerja telah bermula hari ini, 20 Mei 2026 dan sasaran memulakan tugas penyambungan bekalan pada 24 Mei 2026.
“TNB akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan serta meneliti perkara ini bagi memastikan kes seumpama ini dapat diuruskan dengan lebih teratur dan inklusif bersama pihak berwajib yang berkenaan pada masa hadapan.
“Kami memahami keperluan bekalan elektrik sebagai kemudahan asas yang penting kepada kehidupan harian sesebuah keluarga,” kata kenyataan itu lagi. -PAHANGMEDIA

