Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 MEI 2026 : Seorang wanita ditahan setelah dikesan berada di dalam rumah burung yang dibina secara haram di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Muadzam Shah semalam.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, ketika ditahan wanita berusia 32 tahun yang merupakan pekerja di bangunan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan aktiviti tersebut.
“Pada 19 Mei 2026 lebih kurang 9.30 pagi, anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan anggota pasukan Gerakan Am Briged Tenggara telah bergerak membuat serbuan di sekitar Kampung Kundang, Muadzam Shah.

“Sekitar 11.30 pagi, anggota penguatkuasa telah sampai ke lokasi serbuan dan semasa pemantauan dilakukan, anggota mendapati terdapat sebuah binaan bangunan yang disyaki bangunan sarang burung walid berada di atas tanah kerajaan.
“Ketika serbuan, anggota telah menahan seorang wanita yang mengaku sebagai pekerja bangunan tersebut dan pekerja tersebut gagal mengemukakan dokumen berkaitan aktiviti tersebut ketika diminta dan memaklumkan pemilik bangunan berada di luar negeri,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya kemudiannya didatangi seorang lelaki yang mengakui sebagai wakil pemilik namun individu berkenaan hanya mengemukakan surat permohonan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan gagal mengemukakan dokumen kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.
Beliau berkata wanita berkenaan kini ditahan dibawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara Akta 828 dan menyita bangunan tersebut. -PAHANGMEDIA

