JERANTUT, 17 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan hasrat untuk menjadikan Kampung Bantal sebagai Kampung Diraja pertama di negeri Pahang menerusi pelbagai agenda pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang sedang dirancang di kawasan berkenaan.
Paduka Baginda bertitah, antara projek utama yang bakal dilaksanakan termasuk pembinaan jambatan serta jalan fasa kedua yang akan menghubungkan Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Sekolah Kebangsaan Gusai.

Menurut Paduka Baginda, usaha pembangunan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan asas rakyat, malah mampu menjadikan kawasan berkenaan lebih tersusun, moden dan berdaya maju.
“Saya nak jadikan kampung ini sebagai kampung khas, dan jika beberapa penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan, kita naik taraf supaya jadi Kampung Diraja. Tiada lagi di Pahang ini ada Kampung Diraja, ini pertama kali,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan alat perubatan oleh Institut Jantung Negara serta bantuan kepada golongan asnaf di Kampung Bantal, di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa Kampung Bantal mempunyai nilai sentimental yang amat istimewa kepada keluarga Diraja Pahang sejak zaman Almarhum Sultan terdahulu lagi.
Malah, Paduka Baginda turut berseloroh apabila memaklumkan nama “Bantal” juga merupakan nama panggilan keluarga kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang ketika zaman kanak-kanak.
“Itulah saya nak berkampung di sini dan bukan itu saja, moyang saya daripada Sultan Ahmad, Sultan Abdullah, Sultan Abu Bakar dan mereka semua yang telah berkhidmat (dengan moyang, nenda) menjadi saksi bahawa tempat ini sangat bermakna. Kampung ini meskipun jauh di mata, namun dekat di hati,” titah Paduka Baginda.
Pada masa sama, Paduka Baginda turut menekankan aspek kebersihan, pembangunan sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan berterusan kepada golongan asnaf menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
Baginda turut mahu lebih ramai anak muda tempatan diberi peluang pekerjaan dan terlibat secara langsung dalam pembangunan kawasan berkenaan tanpa perlu berhijrah ke bandar.
“Kita tak mahu ambil orang luar, kita mahu orang kampung sendiri bangunkan kawasan ini,” titah Paduka Baginda. – PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang

