Oleh : Syafiqah Jamaluddin
CAMERON HIGHLANDS, 16 MEI 2026 : Pasangan pengantin daripada komuniti Orang Asli, Edy bin Jamalludin dan Cristina binti Omar meluahkan rasa syukur apabila berpeluang menyertai Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Cameron Highlands yang diadakan hari ini.
Mereka yang berasal dari Kampung Terisu berkata, keluarga kedua-dua belah pihak turut gembira dengan penyertaan mereka dalam program berkenaan selain hadir memeriahkan majlis tersebut.

Sementara itu, Aiman Amzar bin Rosli dan pasangannya, Akhma Shahira binti Mohd Azmi berkata, mereka gembira apabila terpilih menyertai Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Cameron Highlands kerana menganggap peluang tersebut bukan diperoleh semua pasangan baharu.
Menurut mereka, program berkenaan sangat membantu pasangan pengantin terutama dari segi kewangan memandangkan banyak perbelanjaan diperlukan selepas mendirikan rumah tangga.
“Program ini sangat bagus dan bukan semua negeri ada inisiatif seperti ini. Ia banyak membantu pasangan baharu berjimat dalam membuat persiapan selepas berkahwin. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya Tok Wan kerana memudahkan urusan pengantin baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, program berkenaan bertujuan membantu meringankan beban pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga.
“Tujuan kerajaan negeri di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja (Menteri Besar), kita nak membantu rakyat Pahang ini bermula daripada lahir sehinggalah ke warga emas. Ini untuk golongan remaja yang nak mendirikan rumahtangga, bagi meringankan beban mereka lah,” katanya.
Menurut beliau, program Anggun Suri tahun ini diperluaskan ke semua 14 kawasan Parlimen di Pahang selain satu program khas melibatkan kem tentera menjadikan keseluruhan sebanyak 15 lokasi penganjuran.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pasangan pengantin baharu dan berharap perkahwinan yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Anggun Suri Peringkat Parlimen Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands, di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

