Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya menyelesaikan sebanyak 86 peratus kawasan ‘blackspot’ bekalan air di seluruh negeri ini setakat ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia adalah hasil pelbagai inisiatif dan projek penambahbaikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Katanya, pencapaian itu membuktikan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem bekalan air mula menunjukkan hasil positif kepada rakyat.
“Bekalan air semakin stabil, tekanan semakin baik dan liputan perkhidmatan terus diperluaskan dari semasa ke semasa.
“Semua ini adalah hasil daripada perancangan, pelaburan dan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem bekalan air di seluruh Negeri Pahang,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, antara kawasan yang kini menikmati bekalan air lebih stabil hasil projek penambahbaikan ialah Ulu Atok di Raub, Sri Jaya di Maran, Sungai Soi dan Tanjung Lumpur di Kuantan, Keratong, Chanis dan Selancar di Rompin, Nenasi di Pekan serta Lanchang di Temerloh.
Ujarnya, Kerajaan Negeri turut menetapkan sasaran untuk menyelesaikan 90 peratus kawasan ‘blackspot’ bekalan air di negeri ini menjelang penghujung tahun 2026.
Dalam pada itu katanya, jika dibandingkan beberapa tahun lalu, isu berkaitan bekalan air yang dibangkitkan ketika Sidang Dewan Negeri kini turut menunjukkan perubahan ketara di mana sebelum ini isu utama melibatkan gangguan bekalan air berpanjangan dan bekalan yang tidak konsisten kepada pengguna.
“Namun hari ini, kebanyakan isu yang dibangkitkan lebih tertumpu kepada aspek penambahbaikan sistem seperti Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water – NRW), paip pecah, tekanan air di kawasan tertentu serta peluasan bekalan air ke kawasan luar bandar dan penempatan Orang Asli,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

