Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kira-kira 300,000 rakyat Pahang telah menerima manfaat hasil daripada usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai bentuk inisiatif yang disalurkan terus kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif ini dapat dilaksanakan berikutan kutipan hasil negeri bagi tahun 2025 mencecah RM1.2 bilion dengan sebahagian besar disalurkan untuk manfaat rakyat di seluruh negeri.
“Sebahagian daripada hasil ini iaitu kira-kira RM600 juta kerajaan negeri gunakan untuk bayar emolumen penjawat awam dan kos operasi, manakala selebihnya kita simpan sikit untuk kecemasan dan yang lain dikembalikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk pembangunan dan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, antara fokus utama perbelanjaan hasil negeri adalah sektor pendidikan yang merangkumi pelbagai bentuk bantuan seperti biasiswa, pinjaman pendidikan, geran pendidikan, buku rujukan dan buku latihan.
“Hasilnya, kita berada di kedudukan terbaik SPM 2025 di Malaysia (kalau ikut negeri), dan Maahad Tahfiz kita iaitu Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang muncul institusi terbaik dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang di kedudukan ke-4 terbaik peringkat kebangsaan.
“Begitu juga dengan program perumahan. Kita wujudkan rumah mampu milik seperti Rumah PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang, Rumah Mesra Pahang. Dan yang paling menarik kita mampu bina rumah percuma menerusi Rumah Rakyat Pahang untuk rakyat miskin,” katanya.
Beliau berkata, dalam memperkukuh syiar Islam pula, peruntukan bagi hal ehwal Islam di Pahang meningkat setiap tahun. Contohnya daripada RM147 juta pada tahun 2022 meningkat kepada RM235.95 juta untuk tahun ini.
“Di samping itu juga Kerajaan Negeri juga meneruskan program Juadah Makmur yang telah kita mulakan sejak tahun 2022 lagi.
Manakala menerusi Inisiatif Makmur Pahang pula, Kerajaan Negeri peruntukkan RM82.09 juta tahun ini merangkumi 4 kluster utama iaitu Kluster Pelajar, Agama Islam, B40 dan Umum dengan 24 inisatif merangkumi semua lapisan masyarakat bermula dengan ibu yang melahirkan anak sehingga yang meninggal dunia,” katanya. -PAHANGMEDIA

