Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Sebanyak 2,180 unit rumah telah dibina di daerah Jerantut menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Pahang sehingga kini bagi membantu rakyat memiliki kediaman yang lebih selesa dan sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan itu melibatkan beberapa skim perumahan termasuk PR1MA Pahang, Program Residensi Rakyat (PRR), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) serta Rumah Bantuan Mangsa Banjir.
Katanya, turut terlibat ialah program di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ).
“Jumlah keseluruhan bantuan bina baharu ini dan juga program baikpulih membabitkan jumlah keseluruhanya sebanyak RM18.8 juta,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, antara peruntukan yang disalurkan ialah PR1MA Pahang sebanyak RM36 juta, Program Residensi Rakyat (RM29 juta), Perumahan Awam Kos Rendah (RM127 juta), Rumah Rakyat Pahang (RM13 juta) dan Ru’RASA (RM8 juta).
Katanya lagi, bantuan baik pulih di bawah Ru’RASA pula melibatkan RM340,000 manakala Rumah Bantuan Mangsa Banjir membabitkan RM900,000.
Selain itu, katanya, MUIP turut melaksanakan bantuan bina baharu berjumlah RM6.5 juta dan baik pulih sebanyak RM800,000 manakala Program Pembasmian Kemiskinan Bandar oleh MDJ pula melibatkan RM240,000 bagi bina baharu dan RM180,000 untuk kerja baik pulih.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) turut melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian serta mempercepatkan proses kelulusan permohonan perumahan.
“Antaranya termasuklah penambahbaikan sistem e-Perumahan Pahang sebagai platform berpusat bagi mempercepatkan proses pendaftaran, semakan dan penapisan permohonan secara lebih sistematik dan telus.
“Sehingga 30 April 2026, sebanyak 108,657 permohonan telah diterima menerusi sistem e-Perumahan Pahang di seluruh negeri, manakala bagi daerah Jerantut sahaja merekodkan sebanyak 7,105 permohonan melibatkan semua Skim Perumahan Negeri Pahang yang didaftarkan di bawah sistem e-Perumahan Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

