Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 MEI 2026 : Kerajaan Pahang terus memperkukuh kebajikan dan masa depan tenaga pengajar di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) apabila sebanyak 69 jawatan baharu DG9 dicadang diwujudkan melalui penstrukturan semula perjawatan sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, cadangan itu melibatkan kaedah ‘trade-off’ daripada 70 jawatan DG5 yang sedang dipertimbangkan untuk dibekukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri Pahang.
“Melalui penstrukturan ini, kita menjangkakan sebanyak 69 jawatan DG9 dapat diwujudkan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkaitan. Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Jabatan Agama Islam Pahang juga telah mengadakan bengkel khusus bagi memperkemaskan perancangan penjawatan guru SMA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap kebajikan guru SMAN yang disifatkan sebagai “anak kandung” negeri memandangkan kesemua 18 sekolah berkenaan adalah milik penuh Kerajaan Negeri.
Sejak tahun 2022, kerajaan negeri telah memperkenalkan skim Contract of Service (COS) bagi membolehkan guru kontrak menikmati kemudahan hampir setara dengan penjawat tetap.
“Pada tahun 2022, sebanyak 100 jawatan COS DG9 diwujudkan dengan 99 guru dilantik. Dalam tempoh sama, enam guru diserap ke jawatan tetap manakala 35 lagi dilantik tetap di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Bagi tahun 2023, dua lagi guru diserap ke jawatan tetap. Pada tahun 2024 pula, seramai 31 guru dilantik secara COS dengan tiga lagi diserap ke jawatan tetap. Tahun 2025 menyaksikan 20 guru diserap ke jawatan tetap dan minggu lalu, 33 lagi guru dilantik secara COS,” katanya.
Menurut beliau, usaha berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan kerjaya serta kebajikan guru SMA terus terpelihara, sejajar dengan kepentingan pendidikan Islam di Pahang. -PAHANGMEDIA

