Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan perluaskan Program Benih Negeri sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam sektor agromakanan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, program tersebut akan dilaksanakan di setiap daerah melibatkan semua DUN menerusi pengedaran Kit Benih Negeri kepada masyarakat setempat.
Katanya, program ini bukan sahaja diperluas melalui penjualan harga ramah anak pokok, malah diperkembangkan menerusi pengedaran kit agromakanan.
“Program ini akan diperluaskan bukan sahaja penjualan anak pokok dengan harga rahmat di pusat pembiakan benih pertanian dan seterusnya, diperkembangkan pada edaran kit agromakanan yang merangkumi penternakan dan perikanan seperti anak ayam.
“Malahan sektor penternakan memperkukuhkan program pembangunan makanan ternakan termasuk galakkan penghasilan silaj dan tanaman rumput makanan ternakan di Pusat Sumber Ginetik Ternakan (PSGT) bagi membantu mengurangkan kebergantungan pada bahan makanan ternakan import,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, disini hari ini.
Tambahnya, beliau menyatakan bantuan seperti Skim Makmur Ternak, Program Melkar serta Program Rezeki Ternakan Ruminan dan Unggas diteruskan bagi membantu penternak meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos operasi semasa.
“Meneruskan usaha bantuan dan program sokongan kepada penternak, semua bantuan seperti Skim Makmur Ternak, Program Melkar serta Program Rezeki Ternakan Ruminan dan Unggas terus dilaksankan seperti biasa bagi membantu penternak meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan beban kos operasi semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sektor perikanan turut menerima bantuan menerusi pengedaran benih ikan percuma seperti ikan patin, ikan keli, ikan tilapia, ikan lampam Jawa dan ikan baung kepada penternak melalui pusat di bawah Jabatan Perikanan.
“Manakala sektor perikanan bantuan benih ikan seperti ikan patin, ikan keli, ikan tilapia, ikan lampam jawa dan ikan baung yang percuma kepada penternak melalui pusat dibawah Jabatan Perikanan seperti Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi dan Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi.
“Jabatan tersebut telah mengedarkan dengan berjumlah 983,600 ekor bernilai RM252,220 di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi manakala di Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi berjumlah 188,930 ekor benih ikan telah disalurkan dengan nilai RM79,095,” katanya. -PAHANGMEDIA

