Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berjaya menyambung pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 bagi tempoh tiga tahun lagi bermula 2026 hingga 2028 sekali gus membuktikan komitmen jabatan itu dalam memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pencapaian tersebut merupakan satu pengiktirafan besar terhadap sistem pengurusan JAIP yang sentiasa menitikberatkan aspek kualiti dan integriti.
Katanya, kejayaan itu bukan mudah dicapai kerana hanya segelintir jabatan kerajaan mampu mengekalkan pensijilan berkenaan secara berterusan.
“Pentadbiran urus tadbir JAIP telah berjaya menyambung persijilan QMS ISO 9001:2015 untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 2026 hingga 2028. Jarang pentadbiran jabatan kerajaan dapat,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, JAIP turut memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) pada 12 September 2025.
Katanya lagi, jabatan itu kini sedang melangkah ke arah pensijilan ISO/IEC 27001:2022 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat sebagai usaha memperkukuh pengurusan data dan keselamatan maklumat jabatan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas peruntukan sebanyak RM160.36 juta yang diumumkan dalam Belanjawan Pahang sebelum ini bagi menggerakkan agenda pembangunan Islam di negeri ini.
Menurutnya, komitmen Kerajaan Negeri dan JAIP berjaya melonjakkan pencapaian pendidikan agama apabila seramai 73 pelajar sekolah menengah agama negeri memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Ini tidak dapat dilaksanakan hanya sekadar dengan berangan tetapi oleh kerana komitmen Kerajaan Negeri dan kesungguhan JAIP serta bahagian pendidikan sehingga menjadikan GPN (Gred Purata Negeri) Negeri Pahang bagi sekolah menengah agama 3.57 telah dicatatkan,” katanya lagi.
Ujarnya, Kerajaan Negeri juga terus memperkasakan pembangunan institusi Islam melalui pembinaan masjid, sekolah agama dan Maahad Tahfiz termasuk projek pembinaan masjid baharu di Bandar Indera Sempurna, Kuantan yang dijangka siap pada 22 Jun ini dan masjid baharu Al-Fattah, Batu 3 Kuantan yang dijangka siap pada 14 Julai ini.
Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri kini giat menaik taraf Pejabat Agama Islam Bandaraya Kuantan serta Mahkamah Syariah Bukit Jin di Temerloh selain turut memberi fokus terhadap pembangunan institusi tahfiz secara menyeluruh bermula di peringkat tadika, Sekolah Rendah Tahfiz, Maahad Tahfiz peringkat menengah sehingga diploma.
“Kita telah berjaya membuat penambahan Maahad Tahfiz insyaAllah yang akan mendominasikan hadis di Kuala Lipis. Ini satu pembaharuan dan satu pembukaan yang baru untuk Negeri Pahang dan tak lama lagi akan di buat pula di Maran,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

