Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 MEI 2026 : Dua laporan polis dibuat oleh wakil penyokong Barisan Nasional dan wakil Pertubuhan Suara Rakyat Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, hari ini susulan dakwaan penghinaan terhadap Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berhubung titah Diraja baru-baru ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, tujuan laporan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap individu yang didakwa menghina Institusi Diraja.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu atau kumpulan yang didakwa menghina bagi memastikan kedaulatan institusi berkenaan terus dihormati.

“Kita memang inginkan tindakan yang tegas diambil terhadap individu ataupun kumpulan yang menghina Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dan juga Institusi Diraja Negeri Pahang dan kita mengharapkan penghinaan terhadap Institusi Diraja Pahang ini dapat dihentikan.
“Kami dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri Pahang dan penyokong Barisan Nasional menyeru supaya masyarakat terutama di Negeri Pahang dan luar negeri menghormati Institusi Diraja di Negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain berkata, isu melibatkan titah Diraja tidak seharusnya dijadikan bahan penghinaan terhadap institusi beraja di negeri ini.
“Sekarang kita tak nak isu titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Dewan yang berlangsung pada Jumaat baru-baru ini menjadi satu penghinaan kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
“Kami daripada ADUN-ADUN Barisan Nasional akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-Raja, khususnya di Negeri Pahang, serta bersama-sama menyokong dan menangkis segala tomahan serta fitnah yang dilemparkan kepada Raja kita,” katanya.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan berkata, titah yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang adalah demi kesejahteraan dan pembangunan Negeri Pahang.
“Kita tidak boleh terpengaruh dengan isu remeh-temeh ini. Itu adalah titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang demi kesejahteraan negeri. Kita mahu melihat negeri ini dibangunkan dengan baik.
“Saya difahamkan ada negeri lain diberikan AP (Permit Kelulusan) dan ada yang tidak mendapatnya, itu yang dimaksudkan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
“Kita perlu berlaku adil dan pembentukan tanah Melayu ini juga dengan sokongan negeri-negeri. Jadi kita mahu Negeri Pahang turut diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. -PAHANGMEDIA

