KOTA KINABALU, 11 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke sesi pertemuan bersama Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 2 petang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Dalam pertemuan tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dan Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman berkenan bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara termasuk potensi kerjasama yang mampu memperkukuhkan hubungan antara Negeri Pahang dan Negeri Sabah.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni itu turut mencerminkan hubungan erat serta semangat persaudaraan yang sentiasa utuh antara kedua-dua negeri.
Paduka Baginda berada di Sabah selama tiga hari bermula hari ini sempena Kembara Mahkota Borneo yang turut menyaksikan Paduka Baginda mengetuai ekspedisi pendakian Gunung Kinabalu, esok.- PAHANGMEDIA
Sumber : Kesultanan Pahang

