Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 11 MEI 2026 : Kompleks Sukan Komuniti Pekan dibuka semula secara rasmi hari ini selepas melalui kerja naik taraf dan pembinaan fasiliti baharu dengan peruntukan bernilai kira-kira RM4 juta.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud berkata, pelbagai fasiliti sukan baharu dibina dan fasiliti sedia ada yang dinaik taraf kini tersedia untuk kegunaan komuniti setempat.
Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, pembukaan semula kompleks itu diharap mampu merancakkan lagi penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan gaya hidup sihat.
“Dan Alhamdulillah selepas enam tahun yang saya dimaklumkan tadi, penantian itu akhirnya telah ternoktah, telah tercapai… kita dah buka Pusat Komuniti Sukan Pekan dan saya menyeru kepada seluruh komuniti ataupun warga Pekan untuk menggunakan semaksimum mungkin fasiliti-fasiliti yang disediakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Semula Kompleks Sukan Komuniti Pekan di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri, Pegawai Daerah Pekan, Tuan Azora @ Ahmad Shamsudin serta wakil JKR Pahang dan pegawai JBSN Pahang.

Tambahnya, kadar sewaan fasiliti yang ditawarkan juga lebih kompetitif berbanding pihak swasta sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti sukan secara aktif dan tersusun.
“Kepada komuniti-komuniti di daerah Pekan khasnya, sila layari kita punya laman sesawang untuk dapatkan maklumat-maklumat lanjut berkenaan dengan nilai sewaan dan sebagainya.
“Dan kali ini kita menggunakan kaedah pembayaran ‘cashless’, iaitu menggunakan sistem JomPay di atas talian. Saya rasa sistem ini akan memudahkan kita punya urusan baik dari segi tempahan dan juga pembayaran,” ujarnya.
Katanya lagi, sebanyak 10 fasiliti disediakan di kompleks tersebut termasuk gelanggang futsal, pickleball, badminton, bola jaring, bola tampar dan gimnasium.
Kewujudan fasiliti baharu itu juga katanya diharap dapat merancakkan lagi penubuhan kelab-kelab sukan di daerah berkenaan.
“Macam hari ini juga, Persatuan Pickerball Daerah Pekan telah dirasmikan dan telah mendapat sijil pendaftaran. Dan ini satu perkembangan yang positif untuk pembangunan sukan khasnya melalui JBSN, kita mengharapkan menggalakkan gaya hidup sehat, cegas dan juga aktif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan komuniti setempat memanfaatkan dana dan geran sukan komuniti yang masih dibuka permohonannya bagi menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan dan riadah. -PAHANGMEDIA

