KUANTAN, 9 MEI 2026 : Kerajaan Pahang mengharapkan agar kelulusan eksport pasir sungai kepada negeri ini diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan, bagi memastikan kutipan hasil negeri dapat terus ditingkatkan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap sumber hasil diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi pulangan terbaik kepada negeri serta rakyat.
Menurut beliau, berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil sekitar RM500 juta yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan negeri.
“Antaranya termasuk pembangunan kawasan luar bandar, perumahan rakyat, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah program Inisiatif Makmur Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, aktiviti pengorekan pasir yang dilaksanakan secara terkawal turut memberi manfaat kepada aspek pengurusan sungai, termasuk membantu mendalamkan sungai, melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir khususnya ketika musim tengkujuh.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.
Beliau berharap agar perkara itu dapat diberi pertimbangan secara positif demi mencari penyelesaian terbaik yang memberi manfaat kepada semua pihak, khususnya Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

