Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 9 MEI 2026: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memberi perhatian terhadap kebajikan pendidikan pelajar di negeri ini, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dalam suasana yang selesa dan teratur.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk penyediaan makanan dan bantuan buku rujukan kepada pelajar yang memerlukan.
Menurut beliau, usaha tersebut mampu membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran sekali gus meningkatkan pencapaian akademik mereka.

“Pendekatan Negeri Pahang, sebagai contohnya pelajar-pelajar SPM yang menghadapi peperiksaan pagi dan petang, kita menyediakan makanan untuk mereka dan dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri tampil ke hadapan untuk memberi buku rujukan secara percuma kepada mereka.
“Apabila mereka berjaya mendapat keputusan yang terbaik, Kerajaan Negeri Pahang tampil seperti hari ini sebagai tanda ingatan daripada kita dan Insya-Allah banyak lagi perkara lain yang akan kita laksanakan untuk pelajar.
“Yang pentingnya mereka boleh belajar dengan selesa, tanpa gangguan, boleh fokus dan mendapat keputusan yang baik, kerana bagi saya pendidikan itu sangat penting, hanya pendidikan yang boleh mengubah nasib keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 dan Bengkel Kecemerlangan SPM 2026 Dewan Negeri (DN) Jelai di Dewan SMK Sungai Koyan, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengalu-alukan penglibatan sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membantu pelajar menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kita alu-alukan sektor korporat negeri ataupun syarikat berkaitan kerajaan persekutuan tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan.
“Mereka sewajarnya memberi bantuan kerana mereka yang menjana keuntungan dan sedikit daripada keuntungan tersebut harus disalurkan dalam bentuk CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat).
“…. dan ini sangat kita alu-alukan serta amat dituntut oleh Kerajaan Negeri Pahang. Saya berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan, khususnya persekutuan, tampil memberi bantuan CSR seperti yang dibuat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.
Pada majlis yang sama, seramai sembilan orang pelajar telah menerima Surat Tawaran Pengajian UNITEN dengan kemasukan biasiswa penuh. -PAHANGMEDIA

