KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar isu eksport pasir sungai diteliti secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini bukan sahaja berpotensi menambah hasil negeri, malah penting dalam aspek pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.
“Patik menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.
“Titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan meneliti segala perkara yang dibangkitkan demi memastikan hak dan kepentingan negeri Pahang terus terpelihara. -PAHANGMEDIA

