Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 MEI 2026 : Hari terakhir lawatan rasmi delegasi Singapura ke Pahang yang diketuai Menteri Kanannya, Tuan Lee Hsien Loong dimanfaatkan dengan berkunjung ke Penjara Penor, di sini, hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bagi menyambut ketibaan delegasi berkenaan yang turut disertai isteri Menteri Kanan Singapura, Puan Ho Ching.

Turut serta, Menteri Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Tuan Zhulkarnain Abdul Rahim; Ahli Parlimen Singapura, Cik Joan Pereira; Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, Tuan Vanu Gopala Menon serta barisan pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.
Lawatan tersebut bertujuan memberi peluang kepada delegasi melihat sendiri proses pembuatan Tenun Pahang Diraja yang diusahakan oleh prospek di penjara berkenaan.

Penjara Penor memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula seni tenunan tradisional melalui inisiatif Tenun Pahang Diraja yang dilaksanakan di bawah naungan Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Usai ke Penjara Penor, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah serta Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat ke Jamuan Diraja di Gerabak Jaman Tory bagi meraikan delegasi berkenaan.

Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut serta, Menteri Undang-undang dan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Singapura, Tuan Edwin Tong yang tiba di negeri ini sekitar jam 11.30 pagi tadi.
Dalam jamuan tersebut, para tetamu dihidangkan dengan juadah istimewa negeri Pahang seperti pais patin dan gulai tempoyak ikan patin.

Delegasi kemudiannya dibawa berkunjung ke Muzium Sultan Abu Bakar bagi melihat pameran yang terdapat di situ.
Dalam pada itu, difahamkan delegasi berkenaan dijadualkan meneruskan lawatan rasmi mereka ke Terengganu selama dua hari bermula esok.-PAHANGMEDIA

