Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 6 MEI 2026 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya tidak menjadi ‘batu api’ yang boleh mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan Lim Guan Eng sebelum ini yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai adalah tidak membantu, malah berpotensi mengeruhkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.
“Ketika pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu semasa, kenyataan seperti ini hanya akan memburukkan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, semua pihak perlu bertindak secara matang dan profesional dalam mengurus perbezaan pandangan demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
Tambahnya, sebagai pemimpin senior, keutamaan harus diberikan kepada usaha menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan sedia ada.
“Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan,” katanya. – PAHANGMEDIA

