Oleh : Norhafizan Zulkifli
ROMPIN, 27 APRIL 2026 : Penantian sekian lama untuk memiliki geran tanah sendiri berakhir apabila peneroka FELDA di Selancar 1, 4 dan 5 serta sebahagian peneroka FELDA Gugusan Keratong akhirnya menerima surat hak milik tanah masing-masing hari ini.
Bagi seorang penerima yang merupakan penerokawati FELDA Selancar Jaya 1, Puan Suriani Zainuddin, 58, berkata, usaha Kerajaan Negeri menyelesaikan isu hak milik itu membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan peneroka.
“Bebanyak saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri Pahang terutamanya YAB. Menteri Besar kita dan juga kepada pemimpin-pemimpin FELDA dan juga kerajaan negerilah.

“Dan untuk seluruh warga FELDA, saya harap sentiasa bersyukur dan menyokong apa jua yang baik yang dirancang oleh FELDA dan juga kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Peneroka FELDA Selancar 1, 4 & 5 serta Baki Penyerahan Hakmilik Peneroka FELDA Gugusan Keratong bertempat di Dewan Orang Ramai FELDA Selancar 5, di sini hari ini.
Tambahnya, selepas 36 tahun menetap di tanah rancangan itu, penantian yang sekian lama akhirnya menjadi kenyataan.
“Jadi saya menyerulah kepada semua peneroka sentiasa bersyukur dengan rahmat yang diberi dan sentiasa menyokong kerajaan yang ada tu untuk Negeri Pahang ini,” katanya.

Sementara itu, peneroka FELDA Selancar 1, Encik Roshan Buang, 65, berkata, penantian dia dan isteri, Puan Samsuriah Ishak, 57, selama 38 tahun akhirnya terjawab dengan penerimaan geran tersebut.
Katanya, sebagai generasi kedua yang sememangnya membesar dalam FELDA, beliau amat menghargai usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan peneroka terus terbela.
“Itulah saya pun bersyukur sangat-sangat. Terima kasih sangat-sangat yang teramat hingga pada kerajaan negeri Pahang yang dah bagi kan penantian saya selama 38 tahun.
“Syukur alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak. Bila dah ada geran ini rasa macam penantian itu termakbul lah kan. Alhamdulillah,” katanya yang mempunyai lima orang anak.

Seorang lagi peneroka, Encik AG Ibrahim Hamid, 72, dan isteri, Puan Siti Aminah Omar, 70, turut melahirkan rasa syukur selepas hampir 40 tahun menunggu untuk memiliki tanah yang diusahakan.
“Rasa gembiralah. Hak milik yang kita menunggu selama dah 40 tahun kan… Ini kita sangat yang memang ‘happy’lah. Kita mengucapkan terima kasihlah pada Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

