Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 26 APRIL 2026 : Program Gemacitra Pahang 1st bakal menjadi salah satu program tarikan pelancong yang dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri bagi menghidupkan kembali budaya dan warisan tempatan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program kebudayaan seperti ini juga dilihat dapat meneruskan legasi budaya dan warisan tempatan kepada golongan muda di negeri ini.

“Kerajaan Negeri merasakan bahawa usaha sebegini untuk menunjukkan, untuk mengembalikan nostalgia budaya. Kebudayaan perlu dihidupkan terutama untuk anak-anak muda yang mana mereka saya rasa tidak berpeluang oleh sebab faktor usia dan sebagainya.
“Tapi kita buat ini boleh mengembalikan (kebudayaan), mereka dapat melihat bagaimana lagu-lagu Pahang, budaya, dan kita menceritakan bahawa kita di Temerloh ini melahirkan ramai seniman.
“InsyaAllah kita akan promotekan (dalam kalendar pelancongan) untuk seterusnya di masa-masa yang akan datang,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM1 juta kepada kesemua sebelas daerah di negeri inj bagi melaksanakan program kebudayan seperti Gemacitra ini.

“Peruntukan semua sekali RM1 juta lebih untuk 11 parlimen daripada Kerajaan Negeri. Saya cuma nak beritahu bahawa sebenarnya di mana ucapan kita tadi, 360 darjah, di mana ekonomi kita tingkatkan.
“Sukan, belia, ibu tunggal, warga emas, artis, budaya, budayawan kalau boleh kita tidak mahu ada antara mereka yang tertinggal. Kita nak libatkan mereka sama dalam arus pembangunan Negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan membuat perancangan bagaimana pengisian untuk program kebudayaan seperti ini dapat dilaksanakan.
“Kita mungkin akan boleh buat pertandingan, pertandingan lagu-lagu Sudirman. Contoh macam mana yang dibuat pertandingan lagu-lagu P. Ramlee. Mungkin ada di kalangan warga Temerloh yang ada mirip suara allahyarham Sudirman, mungkin kita boleh ketengahkan. itu kita akan fikirkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Gema Citra Pahang 1st Parlimen Temerloh di bawah Program Apresiasi Pahang 1st di Dataran Temerloh. -PAHANGMEDIA

