Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 24 APRIL 2026 : “Kalau jumpa, dia panggil saya ‘Cu’,” kata Mantan Ketua Kampung Kuala Medang, Encik Ismail @ Hassan Mat Sam, 82.
Ungkapan ringkas itu baginya cukup menggambarkan kemesraan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang dikenalinya sejak sekian lama meskipun kini memegang tampuk kepimpinan negeri.

Katanya, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila insan yang pernah diajar membaca al-Quran itu sudi bertandang ke rumahnya sempena Program Misi Kasih Keluarga Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) Aspirasi Pahang 1st di Kampung Kuala Medang, di sini hari ini.
“Saya lama kenal dia sebab saya mengajar dia kelas al-Quran. Itu dekat 30 tahun saya rasa.
“Saya bersama dengan dia ini masa dia belum sesiapa lagi. Kenal sebab arwah maknya orang Kampung Tanjung Gahai, ayahnya orang sini.
“Dia memang sifat dia…ramah, pemurah. Kalau jumpa, saya ini dipanggil ‘Cu’,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi seorang lagi bekas Ketua Kampung Kuala Medang, Encik Abdul Manaf Abbas, 73, yang menyifatkan kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang sebagai dekat dengan denyut nadi rakyat.
“Memang banyak sangatlah membantu. Mengambil berat. Kalau benda kita minta pun jarang tak dapatnya,” katanya.
Misi tersebut dalam masa sama turut menyantuni seorang warga emas yang terlantar sejak empat tahun lalu.

Puan Wan Asmah Wan Abdul Hamid, 64, yang menjaga ibunya yang berusia 91 tahun, mengakui bantuan dan kunjungan yang diterima amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
“Saya jaga mak sejak dia tak boleh bangun. Bila ada bantuan macam ini, rasa lega sangat. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri… terima kasih YAB. Menteri Besar Pahang,” katanya.
Misi berkenaan turut disertai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor dan Pengarah Seketeriat Mahasiswa Pahang, YH. Dato’ Sri Hjh Shahaniza Shamsuddin. -PAHANGMEDIA

