Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 24 APRIL 2026 : Rasa syukur jelas terpancar dalam kalangan penerima bantuan apabila sumbangan Kerajaan Negeri Pahang membolehkan penerima memiliki komputer riba sekali gus memudahkan urusan pembelajaran.
Bagi Puan Muhaini Mustapa, 40, bantuan bernilai RM3,000 tersebut amat bermakna apabila dia akhirnya dapat menyediakan komputer riba untuk anaknya yang sedang mengikuti pengajian diploma.
Suri rumah itu berkata, batuan diterima untuk anaknya itu sedikit sebanyak memberi kelegaan buat dirinya dalam menyediakan kemudahan peranti buat anaknya itu lebih-lebih lagi suaminya hanya bekerja sendiri.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan sumbangan ini kerana ia membolehkan kami membeli komputer riba untuk anak.
“Memang banyak membantu dan meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Muafakat Felda Pahang di Felda Sungai Koyan 1, di sini.
Sementara itu, Cik Nur Alesya Ab Ghani, 19, turut meluahkan rasa syukur apabila bantuan diterima memudahkannya memiliki komputer riba sendiri bagi kegunaan pembelajaran.
Pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lipis itu berkata, sebelum ini dia amat memerlukan peranti berkenaan bagi melancarkan proses pembelajaran.

“Alhamdulillah, bantuan ini membolehkan saya membeli komputer riba dan sangat memudahkan urusan pembelajaran saya.
“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan ini,” katanya.
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu dari segi kemudahan pembelajaran, malah memberi semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik.
Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 449 penerima menerima pelbagai bentuk sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM623,782.
Daripada jumlah itu, seramai 43 penerima menerima sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM501,982. –PAHANGMEDIA

