Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 25 APRIL 2026 : Masyarakat Orang Asli di negeri inj diseru supaya terus bersatu padu dan mengekalkan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan komuniti mereka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perpaduan dalam kalangan masyarakat Orang Asli amat penting supaya setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli termasuk dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kemudahan asas.

“Kalau nak kira bantuan Kerajaan Negeri Pahang bagi kepada masyarakat orang asli. Rumah Rakyat Pahang pun kita bagi secara percuma kepada masyarakat Orang Asli.
“Bukan tujuan nak mengungkit, tetapi nak memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan bahawa Kerajaan Negeri Pahang yang ada pada hari ini tidak sesekali kita mengabaikan masyarakat Orang Asli negeri Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli Kuala Koyan di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Kuala Koyan, Lipis.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor; serta Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negeri Pahang.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengurusan pembangunan ekonomi melalui ORACO telah menunjukkan hasil positif, termasuk peningkatan pendapatan peserta.
“Contohnya, ada peserta yang sebelum ini hanya menerima sekitar RM33 sebulan, kini meningkat kepada hampir RM1,000 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak mudah terpengaruh dengan penubuhan mana-mana parti baharu yang mendakwa mewakili komuniti mereka.
“Sayalah orang yang paling kecewa kalau sekiranya ada parti lain ditubuhkan khususnya di Jelai ataupun di tempat-tempat lain sebab saya nampak dah yang akan menjadi masalah nanti ialah tuan-tuan dan puan-puan,” ujarnya.
Beliau justeru itu berharap agar rakyat di Pahang dapat terus kekal berada pada landasan yang baik, sekali gus mengekalkan kedudukan negeri ini sebagai peneraju indeks perpaduan terbaik yang diiktiraf oleh kerajaan di peringkat nasional.-PAHANGMEDIA

