Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 24 APRIL 2026 : Warga FELDA diseru supaya terus mengekalkan kesetiaan dan sokongan terhadap kerajaan sedia ada demi memastikan kelangsungan pembangunan serta kesejahteraan komuniti tanah rancangan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semangat muafakat dan perpaduan dalam kalangan warga FELDA amat penting dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.

Katanya, generasi peneroka hari ini perlu memahami sejarah penubuhan FELDA yang diasaskan atas usaha murni Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Dato’ Hussein dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, khususnya orang Melayu.
“Jasa beliau memang kita tidak dapat balas. Apabila kita melihat pada hari ini, ramai anak-anak peneroka termasuklah di Pahang yang seramai lebih kurang 43,000 orang ini, boleh dikatakan ramai yang berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Muafakat FELDA Pahang bersama Menteri Besar di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, FELDA Sungai Koyan 1, di sini.

Turut hadir Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Dr. Ramli Dato’ Mohd Nor; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) merangkap Ahli Parlimen Lipis; YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Mengulas lanjut, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, warga FELDA diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan persepsi, khususnya dalam kalangan generasi pertama FELDA.

“Jadi saya sangat berharap kepada pengurus rancangan dan pengurus FELDA serta pemimpian FELDA, bagi maklumat yang betul. Jangan putar belit.
“Kita negara demokrasi. Kalau kerajaan yang ada pada hari ini tidak menjalankan tugas, mengabaikan tanggungjawabnya, kita kena tukar. Tetapi janganlah kalau yang dibuat untuk kebaikan rakyat, diputar belitkan untuk membenci kerajaan yang ada pada hari ini. Akhirnya kita berpecah dan apabila kita berpecah, orang lain yang mendapat keuntungan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 449 penerima menerima pelbagai bentuk sumbangan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM623,782.

Daripada jumlah itu, seramai 43 penerima menerima sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM501,982, manakala enam penerima menerima geran pemadanan berjumlah RM41,800.
Selain itu, bantuan turut disalurkan kepada 400 penerima dalam kalangan anak yatim, golongan miskin tegar serta pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membabitkan peruntukan RM80,000. -PAHANGMEDIA

